Projek Penambakan Lambang Kejayaan S'pura
2:55 PM
EKSPRESWE MARINA COASTAL: Ekspreswe sepanjang lima kilometer ini, yang sebahagiannya di bawah dasar laut, merupakan anjakan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan yang diraih negara ini.
19 Dec 2013
MOHAMMAD AYUB JOHARI
PADA 29 Disember nanti kita akan menyaksikan negara ini
menempa satu lagi kejayaan cemerlang dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan
apabila Ekspreswe Marina Coastal (MCE) dirasmikan.
Ekspreswe sepanjang lima kilometer itu, yang sebahagiannya
di bawah dasar laut, merupakan anjakan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan
yang diraih negara ini.
Sebelum ini ia tertumpu kepada pembinaan bangunan pencakar
langit, pembinaan ekspreswe, laluan bawah tanah MRT, terowong dan jejatas serta
jambatan seperti Benjamin Sheares yang merentangi sebahagian perairan
Singapura.
Ia juga sedang membuat kajian tentang pembinaan di bawah
tanah untuk membina rumah, kolam air serta loji menyimpan gas dan minyak.
Walaupun terowong yang dibina di bawah dasar laut itu hanya
sepanjang 420 meter sahaja - tidak sejauh Euro Tunnel yang dibina di bawah laut
yang menghubungkan England dengan Perancis melalui Terusan Inggeris, sejauh
50.5 kilometer dengan biaya 9 bilion pound - ia mengambil masa enam tahun.
Sebagai sebuah negara kecil, dalam masa setengah abad
Singapura berjaya menjadi negara dunia pertama dengan kemajuan yang mengagumkan
dalam banyak lapangan, khususnya dalam bidang topografi yang melibatkan
penambakan tanah.
Kejayaan negara kita dalam membina estet perumahan untuk
dimiliki oleh rakyat, kawasan pembinaan rumah mewah untuk mereka yang
berkemampuan, pembinaan kawasan perindustrian yang memberi pekerjaan kepada
rakyat dalam mengatasi pengangguran, pembinaan jalan raya dan MRT serta
pembinaan bangunan untuk kesejahteraan rakyat seperti, sekolah, universiti,
hospital, taman dan sebagainya, kesemuanya dapat dilakukan hasil daripada
kejayaan penambakan tanah yang dimulakan sejak kemerdekaan pada 1965.
Projek penambakan tanah bermula dengan meratakan tanah
rendah dan berpaya seperti di Jurong, Tampines, Kallang Basin dan Kranji.
Sebahagian besar kawasan tanah tambak ini digunakan untuk
membina kawasan perindustrian seperti Jurong yang menjadi kawasan perindustrian
utama.
Ia diikuti dengan penambakan kawasan laut dari Bedok membawa
ke Tanjong Rhu.
Oleh kerana kawasan yang ditambak sangat luas, selain
menggunakan pasir yang dibeli dari luar negara, ia juga menggunakan tanah yang
diambil dari kawasan tanah tinggi.
Sebagai contoh, pada 1950-an, jika berdiri di Masjid Alkaff
Kampong Melayu lama di Jalan Eunos, kita dapat melihat kawasan Kaki Bukit yang
bertanah rendah dan luas. Bukit dan tanah tinggi di kawasan ini dan sekitarnya
diratakan, tanahnya digunakan untuk projek penambakan tersebut.
Hasil daripada penambakan tanah ini bukan sahaja dapat
menambak kawasan laut yang luas, malah ia dapat menyediakan banyak kawasan
tanah rata.
Di sinilah kemudian dibina kawasan perumahan sekarang
seperti Estet Perumahan Ubi, Bedok Reservoir, Tampines, Bedok South, Bedok
North dan Marine Parade.
Sebahagian kawasan perumahan Bedok South dan estet perumahan
Marine Parade keseluruhannya dibina di atas tanah yang dahulunya laut.
Kawasan tepi pantai Tanjong Katong dahulu terkenal dengan
lagu 'Di Tanjong Katong' kini sudah menjadi sebahagian estet perumahan Marine Parade.
Penambakan laut tidak menghilangkan kawasan tepi pantai yang
menjadi nostalgia atau kenangan manis, sebaliknya ia mencipta kawasan persiaran
dan istirahat East Coast Parkway yang jauh lebih luas daripada pantai Tanjong
Katong.
Generasi muda yang menikmati keindahan pantai East Coast,
dengan pantainya yang putih bersih dan airnya yang biru, mungkin tidak
menyangka seluruh kawasan itu adalah laut yang ditambak.
Kawasan tambak di bahagian timur ini juga dibina ekspreswe
East Coast Parkway (ECP) yang menghubungkan kawasan Changi ke bandar raya
Singapura.
Pada 1970-an, kerja-kerja menambak laut di Changi pula
dilakukan. Lapangan terbang Paya Lebar dipindahkan ke Changi setelah
kerja-kerja penambakan dan membina lapangan terbang yang baru itu selesai.
Kini Changi mempunyai tiga terminal yang digunakan oleh
syarikat penerbangan ke seluruh dunia. Ia dalam proses membina terminal keempat
dan kelima. Kerja penambakan laut diteruskan untuk menempatkan terminal baru
itu.
Penambakan tanah teristimewa tentulah di Marina Timur dan
Marina Selatan yang dimulakan pada 1980-an. Marina Timur bermula dari Tanjong
Rhu hingga ke Bendungan Marina.
Marina Selatan pula menyambung Bendungan Marina hingga ke
Keppel Road.
MCE dibina dibawah dasar laut berhampiran Bendungan Marina.
Ia menyambungkan ECP di timur dengan Ayer Rajah Ekspresswe (AYE) di barat.
Siapnya MCE menandakan seluruh Singapura dilingkari
ekspresswe yang luas.
Penambakan tanah di Marina juga melibatkan pendataran tanah
tinggi dan bukit di kawasan berhampiran.
Misalnya Keramat Habib Noh dahulu terletak di atas bukit.
Bukit di sekitar keramat tersebut di korek untuk menambak laut. Kita dapat
melihat keindahan makam Habib Noh seperti menara setelah kerja penambakan
selesai.
Penambakan kawasan Marina telah meluaskan bandar raya
Singapura.
Tiada siapa menyangka kawasan asal laut ini menjadi pusat
kewangan, pusat beli-belah, pusat hiburan, tempat persidangan dan mempunyai
ikon tersendiri seperti bangunan Esplanade, Marina Sands dan menjadi satu
kejutan ialah apabila sebahagian tanah tambak yang berharga itu dijadikan Taman
Di Pesisiran Pantai (Gardens by The Bay) yang terdapat pelbagai jenis tumbuhan
dan bunga-bungaan dari seluruh dunia, digubah dan ditanam secara sungguh
kreatif.
Marina juga menjadi kolam air terbesar di tengah bandar raya
kita.
Penambakan tanah juga dilakukan di pulau-pulau berhampiran.
Pulau Belakang Mati suatu ketika dahulu dijadikan kubu
pertahanan Inggeris untuk menghalang kemaraan tentera Jepun. Setelah ditambak,
kini terkenal sebagai Pulau Sentosa - pusat peranginan unggul yang terkenal di
dunia dengan pasiran pantai yang indah dan lagun buatan.
Penambakan pulau Seraya, Merlimau, Ayer Chawan dan Jurong
yang disatukan menjadi Pulau Jurong, kini menjadi hab industri minyak walaupun
negara ini tidak mempunyai hasil minyak.
Satu lagi kejayaan penambakan pulau ialah apabila Pulau
Seking dan Pulau Semakau disatukan dengan menggunakan bahan yang kita tidak
terfikir boleh digunakan iaitu abu daripada bakaran sampah terbuang yang
dikumpulkan dari rumah penduduk Singapura.
Semua sampah itu dikumpulkan di pusat pembakaran sampah.
Kemudian, abu daripada pembakaran sampah ini dibawa menggunakan baj yang
ditarik kapal tunda sejauh kira-kira 25 kilometer untuk menambak kededua pulau
itu.
Hasil penambakan tanah menggunakan abu sungguh menggalakkan.
Selain dapat mengatasi masalah tempat pembuangan sampah, Pulau Semakau kini
menjadi tempat orang ramai menyaksikan hidupan laut yang pelbagai disebabkan
penambakan menggunakan abu sesuai dengan tumbuhan dan kehidupan haiwan.
Perasmian MCE pada 29 Disember ini menjadi lambang kejayaan
Singapura dalam projek penambakan tanah dan menyediakan infrastruktur bagi
laluan pengangkutan darat yang menjadi wadah bagi kejayaan negara ke taraf
dunia pertama.
Dipetik dari lelaman beritaharian.sg.
- http://beritaharian.sg/premium/wacana/projek-penambakan-lambang-kejayaanspura#sthash.XukE70OT.dpuf
0 comments