Memartabat Melayu Jadi Bahasa Dunia
12:13 PMبسم الله الرحمن الرحيم
....
1 Jun 2013
Mohd Raman Daud
Dalam wawancara akhbar ini baru-baru ini dengan Ketua
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Profesor Dr Haji Awang Sariyan,
beliau mengutarakan erti penting usaha gigih untuk ‘mengantarabangsakan’ bahasa
Melayu.
Umumnya, beliau mengungkapkan usaha di pihak rumpun Melayu
yang sekitar 350 juta jiwa dan lobi di peringkat antarabangsa.
Bagi rumpun Melayu, hujahnya, perlu ada visi dan tekad
politik terutama di pihak tiga negara – Indonesia, Malaysia dan Brunei – agar
bahasa Melayu dapat digunakan di forum antarabangsa, termasuk Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Proses menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia
tentulah menuntut usaha menghasilkan sebanyak mungkin bahan berilmu dalam
bahasa Melayu dan dasar pemerintah yang sentiasa mengutamakannya sebagai
pengantar dalam perhubungan awam dan swasta, di samping terus merakyat dengan
rapi.
Apakah bahasa dunia?
Bahasa dunia ialah bahasa yang dituturkan di peringkat
antarabangsa dan dipelajari ramai orang sebagai bahasa kedua. Bahasa dunia
tidak dicirikan dengan jumlah penuturnya (penutur asli atau penutur bahasa
kedua) sahaja, bahkan juga tebaran menurut kawasan (geografi) dan hubungan
diplomatik.
Dalam banyak hal, kebanyakan bahasa dunia menonjolkan bahasa
asal Eropah, iaitu Inggeris, Perancis dan Sepanyol.
Sebabnya dari segi sejarah, sudah berlaku pengembangan kuasa
Eropah menerusi penaklukan dan penjajahan di banyak bahagian dunia.
BAHASA DUNIA
Bahasa yang terluas digunakan di dunia ialah Inggeris, yang
dipercayai digunakan lebih 1.8 bilion orang, terutama sejak kehadiran Internet
dan media antarabangsa.
Bahasa Arab juga ketara sebagai bahasa dunia kerana sebab
sejarah – peluasan Islam yang membawa bersamanya bahasa Arab di seluruh Timur
Tengah, utara Afrika dan negara yang mempunyai penduduk Muslim di luar Dunia
Arab.
Bahasa Arab memang mempunyai pelbagai dialek, seperti Mesir,
namun yang digunakan sebagai standard atau berpiawai ialah fusaha.
Bahasa Cina standard dipanggil Mandarin atau Putonghua
(bahasa awam) yang mengganti bahasa Cina Klasik yang sebelum ini digunakan di
Timur Jauh sehingga awal abad ke-20 Masihi.
Bahasa Mandarin digunakan di kalangan majoriti China
keturunan Han dan bukan Han, juga di diaspora kaum Cina seberang laut, seperti
di Malaysia dan Singapura.
Memandangkan penduduk China terbesar di dunia, 1.32 bilion
jiwa, maka sekali gus ia mencerminkan kekuatan bahasa Mandarin.
Bahasa Russia digunakan secara meluas dalam empayar Russia
dan kemudian di Soviet Union (dikuasai Russia, 1917-1991) dan juga di Eropah
Timur.
Walaupun sesudah kejatuhan Soviet, bahasa Russia masih terus
digunakan terutama di Russia iaitu negara terbesar dari segi saiznya di dunia
(17 juta km persegi).
Bahasa Jerman pula pernah menjadi bahasa pengantar atau
‘lingua franca’ di sebahagian besar benua Eropah, terutama Empayar Rom Kudus
dan kemudian Empayar Austro-Hungary. Ia merupakan bahasa kedua terpenting di
bahagian Tengah dan Timur Eropah dan di kalangan masyarakat saintifik
antarabangsa.
Terdapat bahasa utama yang tidak luas digunakan antara benua
tetapi penting daripada bahasa pengantar kerana kaitan sejarah. Ini termasuk
bahasa Greek ketika zaman kekuasaan Hellenistik, seperti penaklukan Alexander
Yang Agung dan di wilayah Empayar Byzantin.
Bahasa Latin kini dianggap ‘mati’ tetapi pernah menjadi
bahasa utama Empayar Rom, bahasa keagamaan bagi mazhab Katolik.
Bahasa Parsi meluas ketika Empayar Parsi berkembang dalam
zaman silam dari Mediterranean sehingga utara benua India. Bahkan Parsi pernah
digunakan sebagai bahasa pengantar kedua selepas bahasa Arab di banyak negeri
majoriti Muslim.
Sanskrit, atau Sanskerta, luas digunakan dalam zaman silam
di Asia Selatan (Pakistan, India, Sri Lanka), Asia Tenggara, Asia Tengah. Ia
merupakan pengantar bagi agama Hindu dan Buddha. Namun seperti Latin, Sanskerta
dianggap bahasa mati kerana jarang dituturkan.
Banyak bahasa utama di benua kecil India boleh dianggap
bahasa penting kerana dituturkan ratusan juta orang.
Namun bahasa Hindustan dan Tamil lebih menonjol di benua
ini, selain Urdu, yang merupakan bahasa rasmi di Pakistan, yang mempunyai 180
juta penduduk.
Bahasa Bengali (bahasa ibunda Rabrindranath Tagore, orang
Asia pertama menerima Hadiah Nobel bagi Sastera) lebih besar bilangan penutur
berbanding bahasa Perancis. Terdapat 230 juta penutur bahasa Bengali, iaitu
keenam di dunia.
Namun bahasa Perancis sudah lama dianggap bahasa diplomatik
sehingga ditancapkan sebagai bahasa dunia.
Bahasa Sepanyol tersebar luas hasil penjajahan Sepanyol di
Amerika Tengah dan Amerika Selatan dan sedikit sebanyak di Filipina.
Terdapat usaha sedar di peringkat antarabangsa untuk
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia kerana busana, makanan dan
pelbagai aspek budaya Melayu kian diterima di peringkat sejagat.
Memang banyak manfaat apabila bahasa Melayu diiktiraf
sebagai bahasa dunia. Antara lain, kian banyak orang bukan Melayu atau bukan
penutur asli yang menggunakannya sebagai bahasa kedua.
Selanjutnya, karya asal Melayu daripada muzik sehingga buku
berisi bahan ilmu dan teknologi akan diterjemah sehingga istilah Melayu turut
digunakan dalam bahasa-bahasa dunia lain.
Sekali gus ini bermakna sumbangan rumpun Melayu daripada
adab, ilmu dan tamadunnya akan turut mencorak jagat.
Artikel ini pernah
diterbitkan di Berita Harian pada 1 Jun 2013.
http://beritaharian.sg/gah/sastera/memartabat-melayu-jadi-bahasa-dunia#sthash.Y0fbmxVA.dpuf
.....
0 comments