­

Apabila Golongan Agama Menyebabkan Agama Menjadi Lemah..

6:12 PM


Oleh Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Penulis adalah Penyelaras Sekretariat Falsafah & Sains Islam,
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (USM).

Makalah di bawah asalnya diterbitkan untuk majalah I bil 37/ Nov 05 terbitan Karangkraf Sdn Bhd.
Diterbitkan semula dengan seizin pengarang sendiri.

Pada bulan September lepas saya turut membentangkan kertas kerja dalam Seminar Hukum di UM. Ramai yang email dalam meminta bahan tersebut dari saya kerana mereka tidak dapat hadir. Secara umum fokus kertas kerja saya mengenai Islam Liberal. Saya cuba menjelaskan tentang kelemahan golongan agama di sudut pemikiran, ilmu dan sikap telah menjadi punca munculnya aliran-aliran yang menyanggahi agama yang tulen.

Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan telah mundur dan hilang peranan. Hasil dari hilangnya akidah yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal. Lihat sahaja apa yang wujud di Indonesia, Mesir dan Morocco. Mereka bukan sahaja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen.



Bahkan ada istiadat dan pegangan bangsa yang menyanggahi syarak menggantikan tempat agama. Wanita Islam di Pakistan umpamanya, begitu ditindas di sudut hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa diizinkan sebarang bantahan dari empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba abdi suaminya yang diberi kuasa oleh budaya setempat memukul dan menyiksa.

Wajah-wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini telah benar-benar menconteng keindahan Islam di mata dunia. Setelah menggambarkan keagungan generasi Islam yang lampau, ‘Ali Tantawi berkata: “Majoriti kaum muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan-kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam (menghina Islam-pen). Sehingga Jamal al-Din al-Afghani, atau Muhammad ‘Abduh menyebut perkataan yang hebat: “Islam itu terlindung oleh penganutnya”. (‘Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat, m.s. 45, Jeddah: Dar al-Manarah (1986))

Secara umumnya, kemunduran ini berpunca dari beberapa faktor. Jika difokuskan kepada pemikiran hukum atau perkembangan pegangan syariat di dunia Islam, faktor-faktor berikut menjadi penyumbang utama:
i. Hilangnya Teras Akidah Dalam Penyampaian Syariat
ii. Ancaman Bid'ah Dalam Amalan Syariah
iii. Golongan Agama Yang Lemah
iv. Cenderung Kepada Fiqh Yang Memayahkan (Ta’sir)
v. Taqlid Hukum Tanpa Kajian
vi. Fokus Hukum Yang Sempit
Penjelasan yang lebih jelas di lelaman di bawah:
http://www.pergas.org.sg/Risalah/RisalahWebApr06/RisalahWebApr06/Apr06_Fokus.html

You Might Also Like

0 comments