Beratur Dari Zaman Jepun
3:30 PM
AMALAN SEJAK PERANG:
Beratur merupakan antara disiplin yang ditanamkan secara paksa oleh tentera Jepun ketika berkuasa sekitar tiga tahun setengah di Singapura. Amalan ini berterusan sehingga kini.
23 Dec 2013
DR HAJI MUHAMMAD ARIFF AHMAD
UNTUK mendapatkan apa jua barangan catuan dalam zaman
Pendudukan Jepun (15 Februari 1942-15 Ogos 1945), rakyat mesti beratur, tidak
kira tempat dan masa.
"Tapi dalam zaman Jepun, siapa tak mau beratur, akan
kena tempeling, sepak dan terajang oleh askar Jepun yang lengkap bersenjata
raifel, bengis lagi garang.
"Jadi, mau tak mau orang akan beratur panjang, tidak
kira masa untuk mendapatkan catuan," ujar Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad atau
lebih dikenali sebagai Cikgu Ariff.
Ketika zaman perang yang perih, barangan keperluan memang
amat terbatas, terutama beras dan gula serta ubat-ubatan.
"Jadi, antara banyak disiplin yang diperkenalkan Jepun
secara paksa, saya rasa, beratur atau queue terus menjadi amalan kita sampai
sekarang.
"Ia mencerminkan siapa dulu, berada di depan untuk
menetapkan haknya," kata Cikgu Ariff, yang baru menyambut hari jadinya
ke-89 pada 6 Disember lalu. Hari ulang tahun perkahwinannya pula 12 Disember.
Menurutnya, disiplin Jepun itu memang bersifat ketenteraan.
Namun, sama ada dalam zaman diperintah tentera atau tidak, ia sudah menjadi
kebiasaan di Jepun yang merupakan antara negara termaju di dunia dan tentulah
di Asia.
Malah sejumlah negara meniru cara Jepun seperti Malaysia
dengan Dasar Pandang Timur yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohammad, perdana
menterinya yang keempat dan pernah melalui zaman Jepun di Malaya.
"Seyogia, Jepun merupakan negara Asia pertama dalam
zaman moden atau dalam abad ke-20 yang berjaya melawan kuasa-kuasa Barat.
Apabila kalah dalam Perang Dunia Kedua, Jepun tidak terus putus harap. Bahkan
ia bangkit semula, antara lain, kerana disiplinnya yang cukup tinggi,"
kata Cikgu Ariff.
Ketika zaman catuan itu, ayahnya mendapat satu gantang
beras, begitu juga dengan Cikgu Ariff, dan adiknya yang bernama Muhaiyan.
Ketika itu beliau mempunyai adik angkat bernama Maniseh.
"Kami terpaksa makan rebusan ubi kayu dan campur
sedikit beras. Ibu tiri saya terbukti tak boleh makan ubi kayu, tetapi nasi
saja. Jadi kami berkorban ketika itu demi penakatan," katanya.
Zaman beratur kerana catuan itu penting dalam membangun
semangat bersiap sedia, tahu mengatur keutamaan dan tentulah sanggup berkorban.
"Kita kini zaman cukup serba serbi. Ada kedai dan
restoran 24 jam. Semuanya ada, tak susah. Ini membuat kita ambil mudah.
"Tapi sekali-sekala jika ada latihan pertahanan awam
dalam rangka membela negara, mungkin wajar kita adakan catuan, amalan beratur
dan sebagainya untuk mengukuhkan disiplin kita," katanya.
Oleh itu, zaman Jepun yang perih di Singapura masih
menguntumkan hikmah juga, hujahnya.
"Setiap masa ada kesukaran dan kemudahan. Inilah juga
makna dan mesej dalam surah Al-Insyirah. Tuhan mahu kita mengamalkan disiplin
diri - mengatur waktu, tahu mengutamakan dan sebagainya agar kita menjadi insan
yang bersyukur," tambahnya.
Dari lelaman beritaharian.sg:
http://beritaharian.sg/premium/gah/sastera/beratur-dari-zaman-jepun#sthash.JQ9KREcK.dpuf
0 comments