­

Masyarakat Islam Yang Cemerlang

2:22 PM


Membawa Kesejahteraan Kepada Semua dan Menggalakkkan Nilai dan Prinsip Sejagat


Islam adalah agama Allah yang membawa rahmat untuk sekalian alam. Rahmat Allah ini seharusnya dapat dirasai oleh semua umat manusia, sama ada yang beriman atau yang tidak beriman bahkan hatta kepada haiwan. Masyarakat Islam harus menyebar luaskan anugerah ini dengan sebaiknya.



Di samping sifat rahmah yang ada dalam diri Rasulullah S.A.W., Baginda juga memiliki sifat 'Aziz (simpati), Haris (prihatin), Ra'uf (penyantun) dan Rahim (penyayang). Penghayatan terhadap sifat Rahmah, 'Aziz, Haris, Ra'uf dan Rahim yang dimiliki Rasulullah S.A.W. mengajar masyarakat Islam menggunakan pendekatan mudah, membawa khabar gembira, lembut dan berlapang dada dalam berinteraksi dengan manusia keseluruhannya.

Masyarakat Islam seharusnya merasakan bahawa kewujudan mereka di kalangan masyarakat lain hendaklah membawa rahmah sepertimana Rasulullah S.A.W. membawa rahmah kepada seluruh alam. Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam seharusnya mampu menilai sesuatu keadaan baru dan mencari penghuraian terbaik, bersifat belas ihsan dan bijak menggunakan pendekatan lembut untuk mencapai matlamat murni yang diinginkan.

Hakikatnya, dalam diri Rasulullah S.A.W. adalah contoh teladan bagi umat sejagat. Rasulullah S.A.W. diutuskan membawa rahmat dan Baginda S.A.W. adalah penyebar kesejahteraan sejagat.

Dalam sebuah hadis pernah diceritakan bahawa Baginda S.A.W. adalah seorang yang amat pengasih dan penyayang, dan sifatnya ini tidak terbatas hanya sesama Muslim sahaja. Sebagai contoh, Baginda S.A.W. sering membalas tindakan orang-orang yang pernah menyakiti Baginda S.A.W. dalam beberapa peristiwa dengan sifat rahmah.

Ketika Baginda S.A.W. berdakwah kepada Bani Thaqif, dakwah Baginda telah disambut oleh penduduk Taif dengan kata-kata kesat dan lontaran batu-batu oleh anak-anak kecil dan orang dewasa. Sekalipun besar penghinaan yang diterima oleh Baginda S.A.W., namun Baginda S.A.W. tetap mendoakan kaum tersebut.

Tatkala tentera Islam memasuki kota Makkah dan menawannya semula dari penguasaan orang-orang Quraisy, walaupun Baginda S.A.W. berjaya menawan pembesar-pembesar Quraisy yang pernah menyakiti Baginda S.A.W. dahulu, Baginda S.A.W. tidak menggunakan kuasa yang dimiliki pada ketika itu untuk membalas dendam atas apa yang pernah mereka lakukan terhadap Baginda S.A.W..

Jelas daripada amalan Rasulullah S.A.W. di atas bagaimana umat Islam diajar untuk berbuat baik kepada semua, walaupun kepada orang bukan Islam, sesuai dengan konsep Islam sebagai agama 'rahmatan lil alamin'.

Hidup di dalam masyarakat majmuk yang berbeza latar belakang, agama dan bangsa, juga memerlukan sifat rahmah. Kita tidak harus menganggap bahawa seseorang yang tidak mengamalkan Islam sebagai jauh dari rahmat Allah S.W.T. Mungkin satu masa nanti, Allah S.W.T. akan memberi hidayah kepada mereka mengikut ketentuanNya. Begitu juga bagi orang yang berbeza agama. Kita tidak boleh menganggap mereka sebagai kotoran (najis) atau sudah terputus dari hidayat Allah. Urusan hidayah dan keimanan adalah urusan Allah yang Maha Mengetahui.

Segala usaha yang baik adalah merupakan ibadat di sisi Allah S.W.T. Masyarakat Islam juga perlu mendukung nilai-nilai tersebut. Prinsip keadilan, nilai rahmah di dalam membasmi kemiskinan dan kejahilan, masyarakat Islam untuk menerajui dan memperjuangkan. Ini boleh dilakukan dengan bekerjasama dengan badan-badan yang menghulurkan bantuan, sehingga menjadi budaya umat Islam sendiri.


Rencana ini dipetik dan diubahsuai dari Risalah Membangun Masyarakat Islam Singapura terbitan MUIS.

Cyberita, May 2011.

You Might Also Like

0 comments