­

Antara Cinta dan Curang di Facebook

11:55 AM


22 Dec 2013
Haryani Ismail, Hasleen Bachik

GAMBAR si kekasih terang-terangan ditayangkan di laman Facebook tanpa timbul rasa ragu ia dipantau suami mahupun isteri.

Pesanan intim yang berhijrah dari Facebook ke WhatsApp, asyik dilayangkan hampir saban waktu.

Inilah kesannya apabila cinta bersemi semula antara kekasih lama yang berjaya dijejaki di laman media sosial Facebook, atau yang ditemui di majlis pertemuan rakan sekolah lama - biarpun masing-masing sudah berumah tangga.


Paparan kecurangan di alam siber kian lumrah di serata dunia bahkan menyumbang pada banyak keruntuhan rumah tangga.

Menurut perangkaan Akademi Peguam Perkahwinan Amerika, bagi setiap lima perceraian yang berlaku, satu kes berpunca daripada Facebook. Di United Kingdom pula, satu dalam setiap tiga kes cerai membabitkan Facebook sebagai pemangkin kecurangan.

Tiada perangkaan khusus di Asia atau Singapura yang diperolehi. Namun, beberapa peguam yang dihubungi Berita Minggu mendedahkan hampir separuh kes perceraian yang ditangani ada kaitan dengan kecurangan di Facebook.

Peguam syariah, Encik Sadari Musari, menjelaskan:

"Saya lihat bilangan pasangan yang menyebut Facebook sebagai titik tolak kecurangan dan kemudian pencetus perbalahan dan perceraian kian bertambah. Nak katakan, kededua lelaki dan perempuan terjebak curang di Facebook.

"Kebanyakannya berpunca daripada kekasih lama muncul kembali di laman Facebook. Sembang punya sembang, mereka jatuh hati. Tapi kededua pihak sudah berumah tangga. Akibat itu, hubungan dengan suami isteri jadi renggang."

Cik Noor Lila A. Hamid yang menceburi bidang guaman sejak dua dekad lalu pula menambah: "Walaupun mereka dakwa hubungan mereka hanya kawan, pesanan yang dikirimkan bukan main mesra sehingga mencurigakan.

"Ada kalanya, rumah tangga mereka sudah bergoncang dan kes mahkamah pun belum selesai.

"Mereka tidak perlu arif tentang teknologi kerana Facebook mudah digunakan. Mereka hanya memerlukan telefon bijak atau tablet."

Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff pula menyifatkan sembang siber dua insan yang masingmasing ada suami atau isteri sebagai langkah awal ke arah hubungan lebih intim. Ia boleh melarat ke hubungan WhatsApp, SMS, perbualan telefon dan kemudian pertemuan atau hubungan lebih intim yang dikhuatiri menyebabkan zina.

"Keadaan lebih membimbangkan jika salah seorangnya mempunyai masalah keluarga atau merupakan isteri atau janda kesepian lagi berpotensi terdedah kepada golongan suka mengambil kesempatan.


"Sebaiknya, cuba hindari daripada menghubungi bekas kekasih atau melayan perasaan bagi menjalin hubungan semula walaupun niatnya sekadar berkawan biasa. Itu adalah lebih selamat," katanya yang memiliki Diploma Spesialis Psikologi Kaunseling daripada Akademi Kaunselor Bertauliah.

Dipetik dari lelaman beritahariam.sg:
http://beritaharian.sg/premium/setempat/antara-cinta-dan-curang-di-facebook#sthash.f6RCHAlY.dpuf

You Might Also Like

0 comments