­

Bacalah! Tetapi Baca Apa?

12:18 PM

26 Jul 2013
Ust. MOHAMMAD HANANN HASSAN

MEMAHAMI matlamat sesuatu perbuatan adalah penting.

Pada rencana lalu, saya menjelaskan bahawa dalam perintah Iqra’, matlamat Iqra’, atau membaca, bukan hanya menghimpunkan butiran-butiran maklumat. Yang lebih utama ialah menghimpunkan maksud, hikmah dan rahsia sesuatu.

Setelah memahami matlamat membaca ini, kita bertanya: apa yang harus kita baca?

Dalam perintah Iqra’, Allah tidak jelaskan objek membaca – membaca apa? Allah membiarkan begitu umum. Sebenarnya, keumuman ini mengilhamkan erti mendalam. Khususnya jika kita telah memahami makna dan matlamat Iqra’.


Allah memerintah kita supaya membaca dalam erti kata menghimpun, menelaah dan meneliti maksud, tujuan dan hikmah sesuatu. Ini boleh diraih daripada pelbagai sumber tersurat dan tersirat, dan kita diperintah agar membaca semua itu.

Yang dimaksud tersurat ialah segala yang tertulis. Dalam lima ayat wahyu pertama, Allah menyebut pena: Dia (yakni Allah) yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam atau pena, yakni penulisan.

Dalam wahyu selepas Iqra’, kalam diulangi lagi. Allah berfirman: “Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis.” (Surah AlQalam: 1)

Iqra’ dan kalam, atau membaca dan menulis, sebenarnya menunjukkan misi ketamadunan Al-Quran.

Jika Nabi saw tidak membaca dan menulis (ummi yang dibincangkan pada rencana lalu), dan perintah ini disampaikan juga kepada masyarakat Arab yang ketika itu umumnya juga ummi, dan wahyu disampaikan kepada Rasul saw secara lisan, tidak dituliskan dan dibukukan seperti sekarang, apa makna perintah membaca kepada Nabi saw dan orang Arab ketika itu?

Perintah tersebut bukan hanya masa turunnya wahyu. Ia perintah untuk masa itu demi membangun masa depan. Allah Maha Mengetahui bahawa akan terbangun tamadun manusia yang berasaskan pembacaan dan penulisan.
Kemukjizatan utama manusia ialah pada kemampuan mencipta bahasa dan tulisan yang menghimpunkan maklumat dan maksud-maksud. Ini tidak dimiliki makhluk lain. Didorong perintah Iqra’ dan kalam inilah masyarakat Islam pertama membangunkan tamadun manusia yang menjadi inspirasi dan asas kepada tamadun manusia hingga ke hari ini.

Allah memerintah manusia membaca segala-galanya yang termaktub. Ini tidak terbatas kepada Al-Quran, sebaliknya merangkumi apa jua ilmu bermanfaat yang termaktub atau tersurat. Bukan juga hanya apa yang dikatakan sebagai ‘buku atau ilmu agama’ kerana rahsia dan hikmah Allah termaktub dalam semua ilmu. Dan kita diminta meneliti, menelaah dan menghimpunkan rahsia dan hikmah itu.

Insan Muslim ialah insan yang luas pembacaannya. Beliau menghimpunkan pelbagai disiplin ilmu. Beliau meneliti, menelaah dan menghimpunkan rahsia dan hikmah Ilahi daripada semua sumber dan disiplin ilmu.
Keumuman perintah membaca termasuk perintah membaca apa yang tersirat. Maksud dan hikmah Ilahi ini tersirat pada semua ciptaan Allah dan kejadian alam ini.
Pada gugurnya daun daripada pokok, matinya kehidupan alam, pertukaran malam dan siang, pergolakan manusia dan seterusnya tersirat rahsia, maksud dan hikmah yang perlu diteliti dan dihimpunkan.

Tentunya untuk menghimpunkan hikmah itu kita terlebih dahulu perlu memiliki dan memahami maklumat dan ilmu mengenai segalanya.

Daripada kecil hingga ketika menerima wahyu, Nabi Muhammad saw telah dididik jiwa dan mindanya agar mampu membaca ayat-ayat tersirat itu.

Ini melalui amalan bertafakur dan bertadabbur yang memang biasa dilakukan Nabi saw. Wahyu pertama diturunkan ketika beliau sedang bertafakur di gua Hira.

Jiwanya yang bersih membolehkan beliau melihat maksud dan hikmah pada ayat-ayat tersirat itu.

Ketika Allah memerintah Rasulullah saw membaca, ia bukan perintah membaca hanya apa yang akan disampaikan Jibrail sewaktu itu di gua Hira. Sebaliknya, Allah berkata kepada Rasulullah: Bacalah! dan bersedialah untuk terus membaca secara berterusan dan konsisten.
Kamu akan terus membaca dan menghimpun makna-makna dan hikmah-hikmah ini bukan hanya melalui wahyu yang akan terus disampaikan, malah melalui kejadian alam, kehidupan dan pergolakan dalam masyarakatmu, dan sejarah manusia. Maka teruslah bertafakur, bertadabbur, membaca mesej, makna dan hikmah yang ingin disampaikan.

Sesungguhnya, perintah membaca yang tersurat dan tersirat itu kekal hingga ke hari ini. Ia perintah bukan hanya kepada Rasulullah saw dan umat manusia pada zaman Baginda. Ia perintah abadi kepada semua manusia sepanjang masa.

Sesiapa yang menyahut perintah itu dialah yang akan berjaya dan cemerlang.

Jika kita masyarakat Islam mendakwa Al-Quran kitab kita, tidakkah lebih utama bagi kita menyahut perintah tersebut?

Setiap Ramadan mengingatkan kita akan peristiwa turunnya Al-Quran yang bermula dengan perintah membaca. Tidakkah Ramadan mengingatkan kita akan misi ketamadunan itu?

Jika kita perhatikan aturan surah-surah Al-Quran, menyusuli surah Iqra’ ialah surah Al-Qadr. Surah Al-Qadr mengingatkan kita akan Al-Quran, yang diturunkan pada lailatulqadar daripada lohmahfuz ke langit dunia.

Al-Quran kemudian disampaikan secara berperingkat, dengan peringkat pertama atau perintah pertama ialah Iqra’.

Surah Al-Bayyinah pula menyusuli surah Al-Qadr. Ia bermaksud kejelasan dan bukti nyata. Al-Quran diturunkan dengan hujah-hujah nyata.

Al-Bayyinah berbicara kepada dan mengenai ahli kitab (Yahudi, Nasrani dan mereka yang menerima kitab sebelum ini). Ia menegaskan kepada mereka bahawa Al-Quran dan Rasul saw datang dengan hujah atau bukti nyata.

Bahkan lebih daripada itu, mereka dan kita diminta ‘membaca’ hujah-hujah tersurat dan tersirat itu. Al-Quran penuh dengan seruan dan perintah agar bertadabbur dan bertafakur.

Ringkasnya, umat Islam dibangunkan di atas asas penting, yakni Iqra’ atau Bacalah. Ketika kita diperintah melaksana solat, membayar zakat, menunaikan haji, menguruskan masyarakat dan negara, berjual beli dan seterusnya, kita diperintahkan meneliti, menelaah dan menghimpunkan maksud, hikmah dan tujuan daripada segala amalan itu.

Kita disuruh mencari dan menghimpunkan segala itu melalui ayat-ayat Allah yang tersurat dan tersirat. Kita umat yang membaca, yang membaca segala-galanya yang bermanfaat dan bermakna.

Penulis Timbalan Dekan, Akademi Muis.

* Pandangan ini pernah diterbitkan di Berita Harian pada 26 Julai 2013

You Might Also Like

0 comments