Siti Khadijah Isteri Rasulullah SAW
12:39 PM
SITI Khadijah adalah anak kepada Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusyai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhar bin Kinanah. Manakala ibunya pula bernama Fatimah binti Zaidah bin Jundab. Ini menjadikan Sayidatina Siti Khadijah tergolong daripadaka bilah Bani Asad dari suku kaum Quraisy Asadiyah yang sangat dihormati dan disegani pada zaman itu. Penamaan golongan ini adalah dinisbahkan kepada datuknya sendiri yang bernama Asad.
Sayidatina Siti Khadijah dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah atau 15 sebelum tahun gajah.
Sayidatina Khadijah juga merupakan sepupu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri kerana salasilah keduanya bertemu menerusi moyangnya yang bernama Qusyai bin Kilab, iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abd. Manaf bin Qusyai bin Kilab.
Sayidatina Khadijah juga merupakan sepupu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri kerana salasilah keduanya bertemu menerusi moyangnya yang bernama Qusyai bin Kilab, iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abd. Manaf bin Qusyai bin Kilab.
Sebelum berkahwin dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Sayidatina Siti Khadijah pernah berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinannya yang pertama bersama Ais atau Atiq bin Abid telah dikurniakan dengan dua orang anak yang bernama Abdullah dan Jariyah. Apabila suaminya Atiq meninggal dunia, Sayidatina Siti Khadijah sekali lagi melangsungkan perkahwinannya buat kali yang kedua. Perkahwinannya yang kedua bersama suaminya yang bernama Abu Halah bin Malik juga telah dikurniakan dengan dua orang anak yang bernama Hindun dan Zainab. Oleh sebab itulah di zaman Jahiliah, Siti Khadijah lebih dikenali sebagai at-Thahirah yang bererti wanita suci. Walaubagaimanapun, beliau dipanggil dengan gelaran Ummu Hindun, kerana beliau mempunyai puteri yang bernama Hindun.
Sayidatina Siti Khadijah menjadi isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika berumur 40 tahun dan merupakan seorang janda, sedangkan Rasulullah pada ketika itu berumur 25 tahun. Perbezaan umur ini tidak menjadi halangan bagi mereka untuk mendirikan rumahtangga yang bahagia apa lagi mendapat tentangan daripada kalangan ahli keluarga kedua belah pihak.
Perkara seumpama ini, mungkin tidak terjadi di kalangan masyarakat Islam ketika ini. Boleh sahaja ianya akan menyebabkan pertelingkahan yang berpanjangan di antara kedua belah pihak tanpa adanya sebarang keputusan yang muktamad. Hal-hal seperti inilah yang sukar untuk dijadikan ikutan oleh para umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di zaman ini.
HUBUNGAN PERNIAGAAN
Siti Khadijah binti Khuwailid adalah seorang wanita yang menjalankan urusan perdagangan dan terkenal dengan orang yang kaya dan bersifat mulia. Beliau mengembangkan perdagangannya dengan mengupah beberapa orang lelaki untuk menguruskan perdagangan dan mengembangkan harta perniagaannya. Berkat usaha Khadijah tersebut, perniagaannya semakin berkembang maju dan menghasilkan keuntungan yang banyak. Sayidatina Khadijah tidak kedekut untuk berkongsi keuntungan perniagaannya dengan pedagang-pedagang selaku pekerjanya yang telah banyak membantu Khadijah dalam usaha mengembangluaskan empayar perniagaannya. Sayidatina Siti Khadijah menjadi terkenal sebagai seorang wanita yang cekal, cergas dan teliti dalam apa jua hal yang berkaitan dengan perniagaannya. Kebijaksanaan, kecekalan, kepandaian dan kerajinanannya dalam menguruskan perniagaan telah menjadikan Khadijah seorang yang sangat kaya dan hartanya semakin bertambah-tambah banyaknya sehingga Khadijah dipanggil sebagai Sadatu Quraisy atau Ibu Quraisy.
Dalam usaha untuk mengembangluaskan empayar perniagaannya Sayidatina Khadijah telah membuat perancangan untuk menjalankan perniagaannya ke negeri Syams. Sayidatina Khadijah membuat tawaran kepada sesiapa yang ingin membantunya menjalankan perniagaannya ke Syams. Hal ini diketahui oleh Bapa Saudara Nabi iaitu Abu Thalib dan beliau mencadangkan supaya anak saudaranya Nabi Muhammad untuk mencuba tawaran tersebut. Abu Thalib bertemu dengan Sayidatina Siti Khadijah dan membincangkan tentang tawaran pekerjaan untuk membawa barang-barang dagangan ke negeri Syams dengan mencadangkan anak saudaranya Nabi Muhammad untuk menguruskan perniagaan ke Syams. Sayidatina Khadijah bersetuju untuk memberikan tugasan tersebut kepada Nabi Muhammad, kerana Sayidatina Khadijah tahu bahawa Nabi Muhammad adalah seorang yang boleh dipercayai di samping mempunyai akhlak yang mulia dan jujur. Akhirnya, Nabi Muhammad bersetuju menerima tawaran itu dan baginda pergi ke negeri Syams membawa barang-barang dagangan bersama-sama dengan pembantu Siti Khadijah yang bernama Maisarah.
PERKAHWINAN SITI KHADIJAH DENGAN MUHAMMAD
Siti Khadijah yang pada mulanya hanya mengenali Nabi Muhammad pada nama sahaja tetapi pada akhirnya mula menyimpan perasaan dan jatuh hati kepada Nabi Muhammad apabila mendengarkan segala kisah-kisah seperti yang telah yang disampaikan oleh Maisarah kepadanya. Akhirnya hati Siti Khadijah terbuka semula untuk mendirikan rumahtangga bersama seorang pemuda yang bernama Muhammad, walaupun Muhammad tidak mempunyai harta kekayaan.
Secara ringkasnya, Sayidatina Khadijah berkahwin dengan Muhammad adalah hasil dari bantuan sahabat baiknya yang bernama Nafisah. Apabila Nafisah mengetahui tentang perasaan Siti Khadijah terhadap Muhammad, dia pun menyampaikan dan menyatakan hasrat Siti Khadijah kepada Muhammad. Sebaik sahaja perkara ini disampaikan kepada Muhammad, beliau bersetuju tanpa adanya sebarang bantahan.
Siti Khadijah telah melahirkan seramai enam orang anak hasil perkahwinannya dengan Muhammad (Rasulullah), iaitu yang pertama bernama Zainab, kedua Ruqaiyah, ketiga Ummu Kaltsum, keempat Fatimah az-Zahara, kelima al-Qasim dan keenam bernama Abdullah.
PENGORBANAN SITI KHADIJAH
Siti Khadijah berasal daripada keturunan yang terhormat, tegas, cerdas, kaya dan terkenal serta mampu hidup dalam serba kemewahan dengan hartanya sendiri. Walaubagaimanapun, semua itu rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas suaminya.
Siti Khadijah adalah wanita pertama yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Sayidatina Khadijah banyak membantu dan mengukuhkan tekad Nabi Muhammad dalam menjalankan da'wah Islamiah baginda. Sayidatina Khadijah juga sentiasa berusaha untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh Nabi Muhammad semata-mata untuk menghilangkan rasa penat dan keletihan serta penderitaan baginda dalam melaksanakan misi da'wah yang sangat mencabar.
Hal ini menunjukkan bahawa Sayidatina Khadijah adalah wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia yang melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam sepanjang kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri.
Dari Lelaman: http://www.pelitabrunei.gov.bn/template/menuju-keredaan-allah/item/8426-siti-khadijah-isteri-rasulullah
Kesalahan Bible Tentang Kisah Ibrahim Dan Ismail r.a
Reading Quran During Menses
0 comments