Prof Hamka dan Tanggungjawab Membela Perjuangan
8:53 AMProf Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Kembali kita membicarakan tentang Prof Hamka dan perjuangannya (posting pertama dan kedua).
Selain dari tuduhan sesat, wahabi, keluar mazhab, tidak hormat ulama seperti
yang telah kita bincangkan dalam artikel yang lepas, Prof Hamka dan gerakan
pembaharuan juga menghadapi pelbagai tuduhan yang lain.
Kaum Muda
Antara gelaran yang dikenakan kepada golongan pembaharuan,
samada di Indonesia ataupun Tanah Melayu ketika itu ialah ‘Kaum Muda’. Prof Hamka
mengkritik gelaran Kaum Muda kepada golongan pembaharuan. Kata Hamka:
“Menurut lughah yang dipakai dalam bahasa Arab dinamai ‘Mazhab
Salaf’ dan salaf itu ertinya nenek moyang yang dahulu-dahulu. Lawannya ialah
al-khalaf. Di Mesir golongan Muhammad Abduh dinamai mazhab al-salaf, orang
Wahabi di Tanah Arab supaya dirinya juga Mazhab Salaf: ertinya semuanya Kaum
Tua. Inilah suatu pengertian yang salah yang berlaku di negeri kita selama 50
tahun. Maka tukang-tukang bidaah, tukang khurafat, tukang menambah-nambah tiang
agama atas tiangnya yang asli sepatutnyalah digelarkan Kaum Muda. Dan yang hendak
langsung berpegang dengan asal dan hulu agama, sepatutnya bergelar Kaum Tua!
Dan Kaum Tua dan Kaum Muda di Indonesia dan Malaya dan Siam sudah taqlid saja
erti yang salah 50 tahun lamanya” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap
Mufti Johor, 98. Selangor: Pustaka Dini 2009).
Kata Hamka segala gelaran itu bukan sesuatu yang terbaik,
walaupun beliau tidak begitu peduli dengan segala gelaran itu. Kata Hamka:
“Adapun saya sendiri tidaklah keberatan didakwa (sebagai) Kaum
Tua sebab yang paling tua di dalam Islam ialah al-Quran dan Sunnah Rasulullah
s.a.w. yang muthi’ah dikatakan Kaum Muda pun boleh sebab telah terbiasa begitu.
Tetapi, jika saya dikatakan (sebagai) orang Islam saja, tidak Kaum Tua, tidak
Kaum Muda, itulah yang lebih baik. Saya sefahaman dengan pangkal kata mufti
(bahawa) tidak ada berkaum-kaum seperti itu di dalam asal Islam.”
Kata Hamka lagi:
“Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur. Ada
seorang tua yang umurnya telah 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90 tahun.
Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan “Risalah Penebas Ke Atas
Bid’ah-Bid’ah Di Kepala Batas” yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Dialah asy-Syaikh Tahir Jalaluddin. Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20
tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.! Dia
hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek moyangnya!
Tak mahu berganjak!
Siapakah antara kedua-duanya yang Kaum Tua? (Dan) siapa (pula)
yang Kaum Muda? Oleh sebab itu, pada hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita
memakai segala gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu-ragu atau
perpecahan, sebagaiman sabda Tuhan di dalam al-Quran, “wala tanabazu
bi-l-alqab”, ertinya janganlah kamu bersenda-senda pada gelaran-gelaran”. (Ibid
m/s 99)
Tidak Hormat Golongan Sayyid
Antara tuduhan lain yang dikenakan kepada golongan pembaharuan
ialah kononnya mereka tidak hormat golongan sayyid atau habib yang dikatakan
berketurunan Nabi Muhammad s.a.w. Isu ini ditimbulkan sejak dahulu. Kata Hamka:
“Disiarkan berita bahawa Kaum Muda membenci ahlu bait, tidak
hormat kepada kaum sayyid, zuriat Rasul” (Ibid m/s 67)
Berkaitan kaum sayyid, Prof Hamka mengkritik keras dakwaan Ibn
‘Arabi iaitu tokoh rujukan sebahagian besar golongan tarekat yang menyatakan
kita hendaklah menerima apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang berketurunan
Nabi s.a.w. atau kaum sayyid kepada kita. Kata Prof Hamka:
“Tegasnya menurut fatwa Ibn Arabi ini kalau bangsa sayyid atau
habib mengambil harta-benda kita hendaklah redha, hendaklah serahkan, hendaklah
sabar, kalau diganggunya diri kita ditamparnya, dipukulnya hendak redha,
hendaklah menyerah, hendaklah sabar. Sebab beliau cucu nabi kita dan kalau
diganggunya kehormatan kita sehingga kita jadi malu, hendaklah redha, hendaklah
menyerah, hendaklah sabar, kalau diganggu anak isteri kita dan kaum keluarga
kita, hendaklah terima dan redha dengan menyerah dan sabar…maka perkataan Ibn
Arabi ini ditanamkanlah kepada orang awam. Padahal sangat membawa hinanya
sesetengah manusia di hadapan yang setengahnya, sehingga lebih hina mereka
daripada budak yang telah sepuluh kali dijual dan sepuluh kali berganti tuan.
Walaupun hartanya atau dirinya bahkan walaupun anak gadisnya diganggu oleh ahli
bait, zuriat Rasul, dia menyerah saja dan wajib memandang itu sebagai nikmat
sesudah iktisadnya dann hidupnya dijajah oleh British dan Belanda dan Cina,
maka jiwanya pula wajib dijadikannya sebagai budak dan jajahan kepada kaum
sayyid” (Ibid m/s 72)
Membela Perjuangan
Prof Hamka bukan saya membela kebenaran perjuangan pembaharuan
dalam lingkungan bumi Indonesia semata, bahkan beliau juga pernah menghantar
sepucuk surat yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid
Alwi bin Tahir al-Haddad. Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap
Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran.
Dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut,
Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah
kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi
penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh
Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai
1958. Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab
fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof Hamka:
“Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua
di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul
kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai
cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul
hancur tidaklah mengapa berdusta..” (Ibid m/s 85)
Kata Hamka juga dalam surat tersebut:
“Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan
gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid,
orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri
kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang
hendak dikafirkannya” (Ibid m/s )48
Katanya juga:
“Maka pengalaman kita sejak 50 tahun patutlah mennjadi ikhtibar
kita sekarang, banyak isi kitab yang tersembunyi dikeluarkan. Dan banyak tumbuh
masalah baru yang hendak kita kiasi dan kita tapis! Jangan marah tetapi telek
baik-baik, bicara dengan tenang. Kerana kalau disambut hanya dengan marah,
tentu yang mengeluarkan pendapat itu marah campur pula orang awam. Maka bahas
berganti jadi jidal, tumbuhlah permusuhan! Pengalaman 50 tahun jadi pelajaran
bagi kita. Hanya kucing saja yang tidak berubah kerana pengalaman walaupun
bermukim di Mekah 20 tahun. Memang ada juga orang yang tidak suka
berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biarkan orang tinggal bodoh
seperti dahulu dan kalau adapun fatwa dari mufti, hendaklah terima dengan:
Na’am! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (Ibid m/s 49)
Cabaran
Antara perkara yang paling buruk yang getir dalam perbaharuan
ataupun tajdid dalam agama ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama itu
sendiri yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa
yang mereka fahami. Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain
berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran
baik, mereka pula enggan jika wujud keperbagaian fikiran yang baik dalam
kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun setaraf mereka. Ini
mempunyai kaitan dengan persoalan ‘kuasa agama’ seperti yang saya sebutkan
dalam beberapa artikel saya. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan
(renewal) akan dianggap sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang
tua-tua dan seumpamanya.
Atau, mereka mungkin melebel pihak yang cuba
memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan berbagai-bagai istilah.
Ramai mereka yang cuba melakukan pembaharuan dalam sejarah melayu dimusuhi dan
diberikan berbagai tuduhan. Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan
Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya,
Za’ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin
tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate
muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang melayu, begitu juga muridnya Dr
Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain.
Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan
melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri.
Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk
mengharamkan tulisan beliau. Za’ba pernah menyebut:
“Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa
ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya
di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan
kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu.
Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri,
atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu
hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid
buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar
Islam dahulu kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan
balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan
yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan
kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan,
memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah
diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak
melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya
duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka
sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula
dapat berbuat”.( Za’ba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, m.s 33, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005)
Artikel ini hanya menyebut secebis dari pengalaman Prof Hamka
dalam melayari perjuangan pembaharuan di Indonesia dan Nusantara. Sesiapa yang
membaca tulisan dan karya beliau akan terasa bahang semangat pembaharuan itu dalam
jiwa Prof Hamka. Tanpa mengetahui latar fikir Hamka, seseorang mungkin tidak
memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam karya-karya beliau.
Dari lelaman drmaza: http://drmaza.com/home/?p=2711
0 comments