Kembali Kepada Al-Qur'an dan Sunnah
9:19 PM
“Apapun masalah yang kita hadapi, kita kena balik kepada Qur’an dan Sunnah”
Dr Mohamed Fatris Bin Bakaram
Mufti Negara Singapura
Mufti Negara Singapura
Sebagai umat Islam, kita pasti telah sedia maklum tentang prinsip ini. Qur’an dan Sunnah adalah sumber pokok dalam pegangan agama umat Islam sepanjang sejarah. Tidak ada sesiapa yang mengingkarinya, kecuali mereka yang terpedaya dengan kekeliruan kononnya Islam cukup hanya dengan Qur’an sahaja sebagai panduan, sementara Sunnah tidak kukuh sebagai rujukan.
Namun, penggunaan Qur’an dan Sunnah sebagai dalil tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya menempelkan isu-isu yang dihadapi kepada ayat-ayat Qur’an dan hadith-hadith Nabi yang kita cari dan temui. Dalam merujuk kepada Qur’an dan Sunnah sebagai sumber dalil dan hujjah dalam agama, para ulama menggariskan kerangka penggalian, pengambilan dan perumusan dalil yang sangat terperinci serta sistematik demi memelihara syariat Allah daripada sebarang pencemaran pemahaman dan pelaksanaan. Cabang ilmu berkaitan perkara ini umumnya dikenali sebagai Usul al-Fiqh.
Jika kita berkesempatan mengkaji lebih luas lagi tentang tahap-tahap pemprosesan dalil yang digunapakai oleh para ulama, kita juga akan dapati bahawa dalam banyak aspek penetapan hukum, mereka bukan hanya secara langsung merumuskan dalil dan hujjah daripada nas, dengan menggunakan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam ilmu Usul al-Fiqh. Selain aplikasi Qiyas bagi isu-isu baru dalam agama, para ulama turut membangunkan kaedah-kaedah umum daripada nas-nas yang ada melalui proses yang dikenali sebagai istiqra’, di mana sebanyak mungkin nas berkaitan sesuatu isu dikumpulkan serta dianalisa, lalu terhasillah kaedah-kaedah umum Fiqh (qawa’id fiqhiyyah) yang dijadikan asas kepada penetapan hukum bagi berbagai masalah-masalah cabang yang tidak terkira banyaknya.
Cuba kita perhatikan secebis contoh kecil yang saya petik dari penulisan Imam al-Suyuti:
“Solat Jumaat: Adakah ia Zohor yang diqasarkan? Atau adakah ia ibadah solat yang tersendiri?
Terdapat dua pendirian (antara dua kaedah ini).
Dinyatakan di dalam Sharh al-Muhadzab: Dua pendirian ini adalah dipetik daripada kata-kata al-Shafi’i ….. dan membuat tarjih kepada kedua pendirian ini menimbulkan perbezaan kepada hukum-hukum cabang yang disandarkan kepada keduanya.
Di antaranya: Hukum apabila seseorang itu meniatkan Jumaatnya sebagai Zohor yang diqasarkan. Pengarang kitab al-Taqrib menyatakan bahawa jika kita berpegang kepada kaedah bahawa Jumaat adalah ibadah solat yang tersendiri, maka tidak sahlah solat Jumaat orang berkenaan. Dia mesti niatkan solatnya sebagai Solat Jumaat. Akan tetapi, jika kita berpegang kepada kaedah bahawa Jumaat adalah Zohor yang diqasarkan, maka pecahan hukumnya terbahagi kepada dua. Pertama: Solat Jumaatnya itu sah, kerana dia meniatkan solatnya itu mengikut hakikatnya sebagai Zohor yang diqasarkan. Pandangan kedua pula ialah bahawa solatnya itu tidak sah. Ini adalah kerana tujuan niat ialah untuk membezakan di antara satu ibadat daripada ibadat yang lain. Maka dalam hal ini, wajib dia berniat dengan cara yang mengkhususkan solat ini sebagai Solat Jumaat, agar berbeza daripada Solat Zohor yang diqasarkan.
Jika seseorang itu meniatkan Jumaatnya sebagai Solat Jumaat pula, maka pecahan hukumnya adalah seperti berikut. Jika kita berpegang kepada kaedah bahawa Solat Jumaat itu adalah ibadah solat yang tersendiri, maka sahlah solatnya itu. Akan tetapi, jika kita berpegang kepada kaedah bahawa Solat Jumaat adalah Zohor yang diqasarkan, maka apakah disyaratkan untuk meniatkan qasar? Terdapat dua pandangan mengenainya, dan pendapat yang lebih tepat ialah niat qasar itu tidak disyaratkan.
Yang lebih benar dalam cabang masalah ini adalah bahawa Solat Jumaat itu merupakan ibadah solat yang tersendiri.
Di antara hukum yang tercabang daripada kaedah ini lagi ialah mengenai seorang musafir yang mendirikan Solat Zohor dengan berimamkan seorang yang mengerjakan Solat Jumaat. Jika kita berpegang kepada kaedah bahawa Solat Jumaat adalah Zohor yang diqasarkan, maka si musafir itu boleh mengqasarkan Solat Zohornya. Jika tidak, maka hendaklah dia menyempurnakan Zohornya empat rakaat, dan inilah pendapat yang lebih benar.
Di antara hukum yang tercabang daripada kaedah ini lagi ialah persoalan sama ada seorang musafir dibenarkan untuk menjama’kan Solat Asar kepada Solat Jumaat yang didirikannya?
Al-Ala’i berpendapat bahawa persoalan ini kembali kepada persoalan kaedah mana yang dipegang. Jika kita berpegang kepada kaedah bahawa Solat Jumaat adalah ibadah solat yang tersendiri, maka si musafir itu tidak boleh menjama’kannya. Jika sebaliknya, maka dibenarkan.
Aku pula (al-Suyuti) berpendapat bahawa yang lebih benar ialah yang demikian itu dibolehkan.”
(Al-Ashbah wa al-Nazha’ir oleh Imam Jalal al-Din al-Suyuti, terbitan Dar al-Salam, Kaherah, 2006, ms 355)
Izinkan saya mengutarakan beberapa perkara yang saya rasa perlu kita fahami:
Pertama: Mungkin ada di antara kita yang tertanya-tanya, “Ini panjang-panjang cerita, mana dalilnya? Apa ayat Qur’an dan hadithnya?” Maka sepertimana yang digambarkan secara ringkas di atas, para ulama tidak hanya berhujjah dengan penggunaan Qur’an dan Sunnah secara langsung, tetapi juga menggunakan kaedah-kaedah Fiqh. Bagi kita masyarakat biasa, mungkin tidak kelihatan ayat Qur’an atau hadith di mata kita dalam contoh perbincangan Imam al-Suyuti di atas. Akan tetapi bagi para ulama’, kaedah-kaedah Fiqh yang digunakan sebagai asas adalah penuh dengan puluhan kalau tidak ratusan nas yang telah dirumuskan secara ilmiyyah.
Kedua: Mungkin ada pula yang mempersoalkan, “Kenapalah disusah-susahkan pelaksanaan agama macam ini sekali? Nak solat Jumaat pun jadi bercelaru pecahan hukum niatnya?” Kita perlu memahami bahawa Islam adalah agama yang mudah dan indah untuk dianuti dan dilaksanakan oleh sesiapa sahaja. Ia bukan agama yang eksklusif untuk golongan elit sahaja. Namun Islam juga adalah agama yang memenuhi keperluan hidup manusia sepanjang zaman dan untuk setiap keadaan. Untuk itu, sebagai satu sistem kepercayaan dan kehidupan yang akan terus kekal relevan sehingga akhir hidup dunia, Islam juga memiliki struktur peraturan dan perundangan yang canggih, sofistikated dan tinggi nilai intelektualitasnya.
Ketiga: Kitab-kitab seperti al-Ashbah wa al-Nazha’ir ini adalah ditulis sebagai panduan bersistematik kepada golongan ulama, fuqaha dan kader-kader yang dilatih untuk bidang perundangan Islam. Keghairahan serta keberanian melulu untuk menawarkan pandangan agama tanpa kemahiran dalam bidang ilmu seperti ini, akan hanya melahirkan pandangan-pandangan hukum yang keliru dan tidak konsisten dengan syariat Islam. Oleh itu, pengarang-pengarang seperti Imam al-Suyuti ini tidak seharusnya dipandang serong sebagai golongan yang mempersulitkan dan menyusah-nyusahkan agama Allah yang mudah. Kitab seperti al-Ashbah wa al-Nazha’ir ini bukan ditujukan untuk menjadi bahan bacaan umum. Justeru saya menasihati sahabat-sahabat saya yang menjalankan tanggungjawab dakwah dan membimbing masyarakat agar bijak memilih kandungan ilmu yang sesuai untuk dibentangkan kepada umum.
Keempat: Bertawadhu’lah dalam kita meneruskan langkah membangunkan kemahiran dan mengusai ilmu agama. Hargailah keluasan khazanah ilmu yang kita warisi daripada para ulama kita. Beradablah dalam hubungan ruh dan minda kita dengan mereka. Ilmu mereka kita warisi. Tulisan mereka kita baca dan kaji. Boleh sahaja kita tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan mereka, kerana akhirnya kita berhak berpegang dengan mana-mana yang kita yakini. Namun jauh sekali sikap seorang mukmin untuk mencaci dan mengeji. Sedarlah, semakin banyak ilmu ini kita gali, semakin insaf kita betapa banyak lagi yang tidak kita ketahui.
Wallahu a’lam
Dipetik dari status facebook Ust Fatris pada 24 April 2014.
https://www.facebook.com/fatris.bakaram/posts/10202492793934825
0 comments